
Tittle : Terima Kasih untuk Kenangan itu (Akhir)
Terlalu banyak memori indah antara aku dengan Qamal yang terukir kukuh dalam mindaku. Tak sanggup rasanya untuk aku menghapuskan memori itu dari ingatanku kerna memori itulah yang memberikan aku semangat untuk hidup. Untuk aku teruskan perjalananku di atas dunia ini. Untuk aku terus bernafas buat seketika sementara nyawa pinjamanku ini masih dalam jasad. Juga untuk aku meneruskan hidup bagi menggendong nyawa yang ada dalam kandunganku. Aku kini berbadan dua.
Terasa sudah lama aku duduk di taman. Sudah banyak lipatan memori ku singkap satu-persatu. Walaupun setiap hari aku akan mengenang perkara yang sama, aku tidak pernah jemu. Mengenang bayangan Qamal membuatkan aku tenang. Dia suamiku. Jadi memang layaklah jika aku mengenangkannya walaupun dia sudah tiada. Dia sudah pergi. Terlalu singkat masa yang ku lalui bersamanya. Aku belum puas untuk bersama dengannya. Masa terlalu cemburu denganku. Aku mahukan Qamal disisiku. Aku mahu dia bersamaku menanti si kecil yang bakal lahir tak lama lagi.
" Abang!!!"
" Nurul, kenapa ni? Kenapa awak menjerit?" dia datang. Memang dia yang selalu datang apabila aku memanggilnya. Aku bukan mahukan dia. Dia bukan Qamal. Dia orang lain.
" Pergi! Aku bukan panggil kau. Aku nakkan laki aku. Aku panggil laki aku. Laki aku nama dia Qamal. Bukan kau. Mana laki aku! Abang.. mana abang. Nurul nak jumpa abang,"
" Tolong saya bawa dia ke biliknya. Dia perlukan rehat. Panggilkan doktor Farhan. Dia tahu macam mana nak handle pesakit ni."
Aku senyum apabila nama doktor Farhan disebut. Dialah suamiku. Dialah yang akan datang apabila aku memanggilnya. Dialah yang selalu memberikan aku kegembiraan dan kebahagiaan disini. Tapi dia hanya akan datang menemuiku untuk menyuntikku dengan entah ubat apa hingga aku akan mengantuk. Mungkin dia sengaja buat begitu. Aku jenis yang susah tidur. Tambah lagi selepas Qamal meninggalkanku. Doktor Farhan sayangkan aku. Dia mahukan aku rehat yang secukupnya. Jadi, dia akan tidurkan aku. Dalam tidurku, aku akan bertemu dengan Qamal. Qamal akan berbicara denganku. Kami akan bergurau bersama. Tiap kali bertemu, pasti ada sahaja lawak baru yang Qamal ceritakan padaku. Dan pastinya aku akan tertawa riang. Sebelum Qamal pergi, dia akan mengucup dahiku dan berjanji akan bertemuku lagi apabila aku memangilnya. Katanya kini dia jauh dariku. Dia tidak boleh selalu menemuiku. Sebab itu aku sering memanggilnya apabila aku rindukannya. Qamal selalu datang lewat bila aku memanggilnya. Aku tahu dia jauh. Jadi aku akan menjerit kuat-kuat untuk memanggilnya.
Pesanan Qamal tak pernah luput dari ingatanku iaitu jangan tinggal solat. Jadi, tiap kali aku terjaga dari tidurku, pasti aku akan meminta Kak Sal untuk memberikanku telekong. Aku minta dua sejadah. Satu untukku dan satu lagi untuk Qamal. Aku akan bentangkan sejadah di hadapanku untuk Qamal. Aku katakan pada Kak Sal aku akan berjemaah dengan Qamal. Pada mulanya, Kak Sal sangsi juga dengan permintaanku, tapi apabila aku katakan pada Kak Sal tentang ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi orang-orang yang berjemaah, lantas Kak Sal tersenyum dan mengikut sahaja apa kehendakku. Pernah juga aku ajak Kak Sal untuk solat bersama, namun seringkali Kak Sal menolak. Aku tahu, Kak Sal malu berjemaah bersama Qamal. Bacaan Qamal sedap dan menusuk kalbu. Aku seringkali larut dalam bacaannya. Selepas solat, Qamal akan mengimamkan bacaan doa. Aku akan mencium tangan Qamal. Aku menangis di ribaan Qamal. Qamal suka sekali mengusap-ngusap kepalaku. Qamal kata wajahku jernih dalam telekong putih yang kupakai. Qamal memang sering memujiku.
---------------------------------------------------
" Nurul ni cantik. Tapi satu je. Muka Nurul ni selalu nampak pucat. Macam orang sakit. Nurul ada penyakit apa-apa ke"
" Mana ada. Nurul sihat la. Dah muka Nurul pucat, nak buat macam mana"
" Nurul pakai la make-up sikit. Nanti abang belikan. Nak?"
" Tak payah la. Nurul tak suka la. Nurul rasa macam menipu je kalau pakai make-up tebal-tebal. Macam artis tu. Dalam tv punyala cantik. Muka licin tak ada jerawat. Make-up tebal seinci. Tapi cuba buang semua make-up tu, tak cantik langsung. Macam kawah. Muka bukan elok sangat pun. Pucat macam tak ada darah. Bukan Nurul nak mengata, tapi tu la kenyataannya. Ibu pernah cakap, kalau kita dah biasa pakai make-up, sekali kita tak pakai, mesti muka jadi pelik macam alien,"
"Hahahaha. Apa la Nurul ni. Macam mana muka Nurul ni kalau jadi macam muka alien ye. Haha. Mesti hodoh," ketawa besar Qamal mendengar kata-kataku.
" Abang bukan suruh Nurul jadi macam artis tu. Diorang lantak la nak pakai make-up tebal berapa inci pun. Sekarang ni abang cakap muka Nurul. Muka Nurul ni memangla tak ada jerawat tapi pucat. Tak elok orang lain tengok. Esok abang belikan lipstik dengan blusher. Senang bagi satu set la alat solek. Biar Nurul pilih nak pakai yang mana. Jangan tak pakai pulak tau,"
" Hmmm.. Tengoklah.." aku menjawab perlahan. Memang aku tidak begitu berminat dengan alat solek. Bagiku cukuplah aku bersiap ala kadar. Lebih selesa dan natural.
Habis semua barang ku lemparkan. Segala isi almari kuselongkar. Aku simpan di dalam almari ini. Pasti ada yang mengambilnya.
" Ya ALLAH. Nurul cari apa ni nak.. Habis semua Nurul lempar. Cuba beritahu ibu, sayang"
" Nurul cari intan. Mana dia? Mesti ibu yang curi ni kan," Aku tuduh ibu. Siapa lagi kalau bukan ibu yang mengemas bilikku.
" Ibu simpan atas almari sayang. Kalau letak bawah nanti tikus ambil macam mana. Nurul tak nak kan," ibu mengunjukkan padaku sebuah kotak berisi alat solekku. Aku rampas dari tangan ibu.
" Semua orang tak sayang Nurul. Curi barang Nurul. Abang Qamal bagi kat Nurul, bukan dekat ibu. Abang Qamal sayang Nurul, bukan sayang ibu. Ibu tak malu nak curi barang Nurul. Lain kali jangan hilang lagi ye sayang. Nurul sayang Intan,"
Aku usap-asap intan di pipiku. Aku dakap intan kuat-kuat. Aku tak mahu ada yang merampas Intan daripadaku. Intan ini ialah kotak alat solekku yang dihadiahkan oleh Qamal semasa hari lahirku yang ke 21. Sengaja kami namakannya Intan kerana intan itu sifatnya bersinar dan indah serta menjadi perhatian ramai. Jadi apabila aku memakai alat solek yang berada di dalam intan, maka aku akan menjadi perhatian dan tidak pucat lagi.
------------------------------------------------------
Aku cari di segenap ceruk taman. Semalam aku yang letakkan di bawah pokok bunga ini. Aku sengaja sorokkan di situ kerana aku tahu ramai yang mahukan intanku. Mereka semua iri hati apabila melihat aku cantik apabila memakai lipstik. Aku pakai pemerah pipi. Aku pakai maskara. Juga aku akan mendandan rambutku yang panjang ini kemas-kemas. Tapi semua orang di tempat baruku ini sering mentertawakan aku. Kata mereka aku buruk dan comot. Macamlah mereka itu cantik. Mereka juga sama. Mereka cemburu kerana mereka tidak mempunyai alat solek sepertiku. Pernah suatu hari ada seorang perempuan memanggilku hanya kerana ingin meminjam lipstikku. Dia meminta dariku baik-baik sama seperti Qamal berbicaraku. Jadi aku pinjamkan padanya. Dia mahu menyolekkan anaknya atau lebih tepat lagi anak patungnya. Malangnya dia telah merosakkan lipstikku. Aku marahkan dia. Kami bergaduh. Aku berasa menang apabila doktor Farhan datang dan membawaku ke bilikku untuk disuntik. Dalam tidurku, aku bertemu dengan Qamal dan mengadu tentang kerosakan lipstikku. Sejak itu, aku tak pernah lagi membenarkan siapa pun menyentuh barangku hatta doktor Farhan sekalipun.
" Hoi!! Sapa curi intan aku? Bagi balik cepat. Sebelum aku bagitau laki aku, cepat bagi balik intan aku?"
Aku berlari di sekeliling taman namun masih juga belum ketemu dengan intan. Aku menangis teresak-esak. Aku sayangkan intan. Kenapa mesti ada yang mengambilnya dariku. Aku meraung di bawah pokok rendang tempat aku sering berehat. Aku suka duduk di bawah pokok ini kerana pokoknya yang rendang persis sekali pokok tempat aku sering bertemu dengan Qamal dahulu.
Makin ramai yang mengerumuniku tapi tak seorang pun yang mahu membantuku mencari intan. Tangisanku makin meninggi. Dalam kekelabuan mata yang digenangi air, aku terlihat kotak berwarna emas di bawah kerusi batu. Tertawa aku jadinya. Lantas aku berlari mengambilnya. Aku lari pantas sekali kerana aku takut nanti ada yang mencuri intanku.
" Yeyeye. Nurul dah jumpa intan. Hahaha," aku melompat-lompat gembira. Aku mula mencalit lipstik di bibirku. Comot sedikit. Aku tenyeh pemerah pipi. Aku calit celak di mataku. Pembayang mata ku oleskan di kelopak mata serta dahiku. Sebelah kelopak mataku diwarnakan hijau manakala sebelah lagi ku coletkan dengan warna merah.
" Cantik! Haha"
Kegembiraanku tergugat seketika. Kulihat Qamal memerhatikanku dari jauh. Wajahnya sayu sekali. Jelas kesedihan terlukis dalam anak matanya yang kuyu. Qamal kulihat cuba mengatakan sesuatu tapi suaranya tidak dapat kudengar. Rasa hiba menyelubungiku. Air mataku tumpah. Aku lari mendapatkan Qamal. Aku tersadung. Tidak kuendahkan bajuku yang kotor. Aku hampir mendekat dengan Qamal. Ku depangkan tanganku untuk memeluknya tapi tiba-tiba Qamal hilang. Bayangannya lenyap sama sekali.
" Abang... kenapa tinggalkan Nurul. Nurul rindukan abang," aku mengongoi bak bayi kecil. Aku menuju ke bilikku. Aku sembamkan mukaku ke bantal dan aku tertidur dalam sedu sedanku. Dan dalam mimpiku......
-------------------------------------------------
Aku berjalan menuju ke sekolah. Aku lihat ramai sekali pelajar Sekolah Menengah Seri Menanti mengerumuni sesuatu. Aku juga tertarik untuk ke sana. Aku berjalan perlahan sekali. Aneh juga kerana kakiku seperti lemah. Dalam 10 langkah aku berjalan, pasti akan terjatuh. Jalannya rata tetapi aku tetap jatuh.
Aku lihat makin ramai yang mengerumuni kawasan itu. Dari kejauhan ku lihat pelajar-pelajar bersorak. Ada yang wajahnya ketakutan dan ada juga yang seperti sedih. Langkahku semakin dekat dengan mereka. Perjalananku untuk sampai ke situ terasa lama kerana sudah beberapa kali aku terjatuh.
Aku diserkap keanehan yang menebal. Mulut pelajar ini terbuka dan seolah bersorak tapi suasana sepi lagi sunyi. Tiada satu suara pun yang lahir dari mulut mereka. Aku berasak-asak ke hadapan untuk melihat apa yang mereka saksikan. Dan alangkah terkejutnya aku apabila aku melihat sebuah kereta Kia Spectra berwarna putih terbalik dan melanggar sebuah lori kontena. Aku lihat seorang lelaki tersepit di dalam kereta tersebut. Darah terpercik di mana-mana. Ngeri aku jadinya. Aku merapati kenderaan tersebut.
"Abang!!"
"Sabar Nurul.. Abang Qamal dah tak ada. Saksi yang tengok tadi cakap kereta abang Qamal cuba mengelak kontena tu. Pemandu kontena tu mabuk dan memandu ke arah kereta abang Qamal."
" Nurul sayang abang. Kenapa abang tinggalkan Nurul" aku meratap tangis apabila melihat jenazah Qamal terbujur kaku di hadapanku.
"Nurul, tak baik meratap depan jenazah macam ni. Kita semua sayangkan abang Qamal. Tapi ingat, Allah lebih sayangkan dia. Sebab tu Allah ambil abang Qamal dari kita supaya sedar betapa berkuasanya Allah. Bila kita kehilangan seseorang itu, barulah kita sedar bahawa kita sayangkannya."
Ibu mengunjukkan sebuah kotak berbalut dan sepucuk surat padaku. Aku ambil dan dakap kotak itu. Kata ibu, itu pemberian Qamal. Qamal berpesan, jika dia pergi, tolong jagakan aku.
Sudah seminggu pemergian Qamal, aku masih tidak dapat menerima kenyataan. Pemberian Qamal juga masih belum kubuka. Setiap malam, aku akan menangis seorang diri. Aku akan menanti kepulangan Qamal di hadapan pintu. Kadangkala aku tertidur di situ.
Sebulan selepas kematian Qamal, barulah aku buka kotak pemberian Qamal. Sepasang telekong putih dan sejadah dia berikan padaku. Juga dalam kotak itu, Qamal selitkan sepucuk surat dan gambar perkahwinan kami.
Isteriku Nurul Qolbi,
Sejak pertama kali abang melihat sayang, abang sudah jatuh hati. Abang tahu sayang adalah perempuan yang terbaik untuk abang. Setiap kali abang menatap wajah sayang, semakin bertambah rindu dan cinta pada sayang. Namun, abang masih tidak berani untuk menyatakan perasaan tersebut pada sayang kerana abang tahu abang bukan lelaki yang baik dan tak layak untuk sayang.
Sejak dari mula lagi, abang dapat lihat kelainan dan keistimewaan sayang dibandingkan dengan perempuan lain. Perwatakan sayang yang sopan santun menawan hati abang. Wajah sayang yang ayu buatkan abang dilambung rindu yang berpanjangan jika tak dapat melihat wajah sayang walaupun sehari. Hari-hari abang terasa sunyi jika tak dapat melihat sayang. Waktu abang di universiti dulu, abang hampir hilang kekuatan untuk belajar kerana terlalu rindukan sayang tapi abang cuba kuatkan hati untuk terus belajar. Abang masih ingat janji kita tentang mengejar cita-cita barulah cinta.
Syukur setelah abang berterus terang pada ibu dan sayang sanggup terima abang sebagai suami sayang yang sah, abang rasa abanglah lelaki yang paling bahagia di dunia ini kerana diberi kesempatan oleh Allah menyayangi dan memiliki sayang walaupun sekejapan cuma.
Sayang Cahaya Hatiku,
Maafkan segala kesilapan abang selama ini. Abang tahu abang banyak melakukan kesilapan. Abang bukanlah suami yang sempurna untuk sayang. Abang masih tidak layak untuk menjadi kekasih yang sempurna buat sayang. Tapi ketahuilah wahai cahaya hatiku, sayanglah perempuan pertama dan terakhir yang pernah abang sayangi dan cintai dalam hidup ni. Abang bahagia sangat dapat hidup dengan sayang.
Semasa sayang baca surat ni, abang mungkin dah pergi jauh dan sayang tak akan dapat jumpa abang lagi. Jaga diri sayang baik-baik. Jaga kandungan sayang. Apabila anak kita lahir nanti, didiklah dia supaya menjadi anak yang soleh dan dapat berbakti pada agama. Ajarlah dia mendoakan abang. Semoga dia akan akan dapat meringankan beban abang di tempat baru serta memberikan cahaya dalam kegelapan ini. Semoga dia akan menjadi sebaik sayang, insyaallah. Setiap kali sayang rindukan abang, tataplah gambar perkahwinan kita dan doakan kesejahteraan abang di ‘tempat’ baru. Gunakan telekong dan sejadah yang abang berikan pada sayang tu ye. Jangan ratapi pemergian abang.
Jika sayang perlukan teman pendamping, sayang carilah lelaki yang bernama Farhan. Dia juga dahagakan kasih sayang dari seorang Hawa. Abang yakin, dia lelaki yang baik untuk sayang. Mungkin dia dapat menjaga anak kita suatu hari nanti.
Semoga sayang dapat meneruskan hidup dengan baik selepas pemergian abang. Abang sayangkan sayang dari awal sehingga ke akhir hidup abang. Doakan kesejahteraan abang. Selamat ulangtahun perkahwinan kita yang kedua. Selamat Hari Lahir yang ke-26. Semoga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur supaya dapat beribadah kepada Allah.
Salam sayang dari suamimu, Kekasih Yang Sempurna.
Air mataku merembes keluar setiap kali membaca pesanan terakhir dari suamiku. Ku usap perutku. Qamal mengalami kemalangan jalan raya yang telah meraut nyawanya. Dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya telah dilanggar oleh sebuah lori kontena yang melanggar kereta Qamal dari arah bertentangan dipercayai dipandu oleh pemandu yang mabuk. Masih ku ingat semasa kereta Qamal dibersihkan, ada sebuah kotak berisi kek yang telah kemek. Hari kematian Qamal bersamaan dengan hari lahirku juga ulang tahun perkahwinan kami yang kedua. Terasa duniaku gelap seketika apabila mengenangkan nasibku juga anakku yang bakal lahir tanpa sempat mengenal ayahnya.
Semenjak kematian Qamal, hidupku terasa kosong. Makan pakai tidak ku endahkan. Setiap hari aku akan pergi ke kubur Qamal untuk membacakan surah Yasin. Kadangkala aku akan bercakap seorang diri di pusara Qamal. Pakaianku tidak terurus. Ibu risau melihat keadaanku yang semakin teruk. Aku menangis dan tertawa seorang diri. Malah, kadangkala aku akan terjerit-jerit memanggil nama Qamal. Aku sering melihat bayangan Qamal serta suaranya yang memanggil-manggilku.
Suatu hari, aku meminta ibu supaya membawaku ke Rumah Idaman Hati. Aku ingin mencari lelaki yang bernama Farhan yang Qamal nyatakan dalam suratnya. Aku ingin mengenali Farhan dan mengetahui apa yang Qamal pernah katakan padanya. Ibu agak sangsi dengan permintaanku namun ibu tetap bersetuju denganku.
Ternyata Rumah Idaman Hati memang menyeronokkan. Di situ, aku dapati pelbagai jenis manusia. Yang tertawa, bercakap dan menangis seorang diri. Yang duduk berseorangan juga ada.
Aku sudah jatuh hati dengan Rumah Idaman Hati. Aku minta pada ibu agar aku dapat tinggal di situ. Alasanku agar aku dapat mengenali Farhan dengan lebih dekat. Sebenarnya Farhan ialah rakan sekerja Qamal yang juga seorang doktor di situ. Apabila aku melihat doktor Farhan, ku temui sebuah ketenangan sama seperti aku melihat Qamal. Sebab itu, aku anggap doktor Farhan sebagai suamiku.
Setiap hari aku akan cuba untuk mendekati doktor Farhan. Namun, bukan mudah untuk aku berbuat demikian. Ini kerana doktor Farhan sering sibuk dengan kerjanya. Doktor Farhan hanya akan bertemuku apabila aku menjerit-jerit memanggil Qamal.
"Doktor, kenapa doktor jarang jumpa orang. Orang selalu tengok doktor dari jauh. Tapi doktor buat tak faham je. Doktor kenal tak abang Qamal. Dialah suami orang. Tapi sekarang dia dah tak ada. Dia suruh orang kenal dengan doktor," aku cuba-cuba berkenalan dengan doktor Farhan.
" Nurul, sekarang saya nak Nurul rehat dulu. Saya tahu Nurul penat kan. Nurul tidur dulu. Nanti mesti Nurul dapat jumpa abang Qamal. Nurul rindukan abang Qamal kan. Nurul nak jumpa dia kan" kata-kata doktor Farhan menusuk ke segenap jiwaku. Doktor Farhan memang memahamiku. Aku sayangkan doktor Farhan. Baru ku faham mengapa Qamal menyuruhku untuk mengenali doktor Farhan.
Setiap hujung minggu, ibu akan datang melawatku dan setiap kali itu juga ibu akan mengajakku supaya pulang ke rumah. Kata ibu aku mungkin akan melahirkan pada bila-bila masa sahaja. Jika aku berada di rumah, lebih mudah untuk ibu menguruskanku.
Aku tidak mahu pulang. Jika aku pulang, aku tidak dapat melihat doktor Farhan. Keadaan di rumah akan membuatkan aku terkenangkan Qamal. Jika aku di Rumah Idaman Hati ini, ada doktor Farhan yang akan ‘membawa’ku bertemu Qamal bila aku rindukannya.
--------------------------------------------------
"Ya Allah ya tuhanku, hambamu ini memohon keampunan padamu. Sesungguhnya aku hambamu yang lemah. Berikanlah aku kekuatan dan ketenangan untuk meneruskan kehidupan ini ya Allah. Ampunilah segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa suamiku serta dosa seluruh umat Islam ya Rabbal A’lamin. Tempatkanlah suamiku di tempat orang-orang yang Engkau redhai."
Ya Allah, andai masaku telah tiba, ambillah nyawaku dalam iman yang sempurna. Jauhkanlah aku dari kehinaan tatkala menghadapi kematianku. Jauhkanlah aku dari azabMu Ya Arhamarrahimin. Sesungguhnya hanya padaMu aku meminta dan memohon pertolongan."
Ku panjatkan doaku sedalam-dalamnya. Hatiku terasa sayu sekali. Aku terasa seperti masaku di dunia ini semakin hampir ke penghujungnya. Terasa seperti bayangan Qamal memanggil-manggilku untuk bersamanya. Aku terasa seperti hidupku tawar dan semangatku semakin sirna. Aku usap perutku yang membesar. Seorang lagi insan akan lahir bila-bila masa sahaja.
Aku berjalan-jalan di taman tanpa menanggalkan telekong pemberian Qamal. Aku ingin mengambil angin pagi yang segar buat kali terakhir di sini. Esok, aku mungkin tidak lagi mampu menghirup segarnya bayu yang berhembus.
Doktor Farhan mendekatiku. Memberi salam dan bertanya khabarku.
"Doktor, boleh tahu tak kenapa abang Qamal suruh orang kenal dengan Doktor?" sudah lama soalan itu bergayut di fikiranku namun baru kali ini aku berkesempatan untuk bertanyakannya.
Doktor Farhan hanya tersenyum. Mirip sekali seperti Qamal. Ahh...rindunya aku pada Qamal.
"Sebenarnya, saya dah kahwin." Aku mengerutkan dahi. Rasa cemburu dan marah terasa membakar. Kenapa aku marah. Sabar Nurul Qolbi.
"Tapi isteri saya dan meninggal. Dia kemalangan semasa ingin membelikan saya hadiah sempena ulangtahun perkahwinan kami. Mulanya saya tak dapat terima pemergiannya, saya hampir gila. Saya pernah cuba untuk membunuh diri. Saya rasakan hidup saya tidak lagi bermakna tanpa isteri saya. Saya juga pernah dirawat di sini selama beberapa bulan kerana keadaan saya yang teruk. Saya marahkan orang di sekeliling saya. Saya suka menyalahkan takdir dan menyakitkan diri saya sendiri. Kalau Nurul perasan, tangan saya ni banyak parut. Saya sakitkan diri saya sendiri. Saya pernah potong nadi saya sampai saya pengsan. Saya pernah makan ubat tidur sampai tak sedarkan diri. Tapi Allah sayangkan saya. Dia masih berikan saya kesempatan untuk hidup. Kalau saya mati masa saya cuba nak bunuh diri tu, tak tahulah. Tak mampu rasanya nak jawab bila disoal dalam kubur nanti. Sehinggalah saya kenal dengan seorang ustaz. Dia yang nasihatkan saya supaya mengingati Allah. Dia mengajar saya supaya menerima takdir. Setelah beberapa lama, barulah saya dapat menerima hakikat. Sebenarnya Allah lebih sayangkan isteri saya"
Astaghfirullah. Aku terdiam. Rupanya Doktor Farhan juga sama sepertiku. Kehilangan insan yang disayangi. Cerita Doktor Farhan menyelinap ke dalam hatiku. Sesungguhnya, baru sedikit dugaan yang aku tempuh dalam hidup ini.
Aku bangun dari tempat dudukku. Perutku terasa sakit yang amat sangat. Seperti mahu pecah perutku apabila kesakitan itu datang. Menjalar sehingga seluruh urat sarafku. Badanku lemah dan aku terjatuh di hadapan Doktor Farhan. Darah membasahi kain telekongku.
Doktor Farhan menggendongku ke dalam. Aku dibawa ke hospital. Ku lihat wajah ibu, doktor Farhan dan para petugas hospital. Wajah Qamal juga ku lihat ada. Qamal tersenyum padaku.
"Ibu, ampunkan segala dosa Nurul. Doktor Farhan, tolong jaga anak orang baik-baik. Didiklah dia mendoakan ibu dan ayahnya yang telah pergi." Pesanku sebelum aku dibawa masuk ke bilik bersalin.
Kini, aku sedang bertarung dengan kesakitan. Dalam kesakitan yang ku tanggung, aku lihat Qamal berada di sisiku memberikan semangat agar aku cekal. Aku cuba senyum padanya dan ku hembuskan nafasku kuat-kuat.
Tangisan bayi ku dengar. Padanganku semakin gelap. Suara di sekelilingku semakin perlahan dan menjauh. Aku menjadi lemah. Sakit yang datang kali ini tak mampu aku ungkap. Amat sangat sakitnya.
Ya Allah... Asyhaduallailahaillallah.... nafas terakhir ku hirup. Dan aku juga telah pergi.....
Wahai Tuhan kami, hidupkanlah kami dengan cinta, kurniakanlah kami dengan sayang, peliharakanlah kami dengan kasih, hiasilah kami dengan rindu dan jemputlah kami dengan penuh kemuliaan.